Pages

May 27, 2010

Hudud I

Pengenalan
Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam ataupun lebih dikenali sebagai hukum hudud merupakan satu kemestian mengikut ajaran Islam. Hukuman hudud yang disebut dalam al-Quran tidak boleh dipinda sama ada ditambah atau dikurang sebagaimana telah ditetapkan oleh Allah. Walau bagaimanapun, hukuman-hukuman yang disebut dalam al-Quran semuanya diikuti dengan perintah menyuruh meringankan hukuman-hukuman itu sehingga pengampunan, jika mereka insaf dan bertaubat.

Rakyat Malaysia memandang pelaksanaan hukum ini dengan pendapat yang tersendiri. Sebagai contoh, kes bekas model Kartika Sari Dewi Shukarno yang dijatuhi hukuman sebat akibat daripada jenayah minum arak telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk sekumpulan golongan Islam. Namun demikian, terdapat juga pihak yang memikirkan hukuman itu setimpal dengan perbuatannya.

Kajian ini dijalankan bagi menerangkan dan membincangkan dengan lebih lanjut tentang isu hukum hudud di samping meninjau kefahaman rakyat Malaysia terhadap hukum hudud dan mengkaji kesan pelaksanaannya terhadap masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.


Sorotan Literatur 

Perkataan hudud merupakan kata jamak bagi perkataan had yang bererti sempadan atau batasan. Pelbagai pembalasan (hukuman) yang dinyatakan dinamakan hudud di mana ia mampu mencegah manusia daripada perbuatan-perbuatan yang melampaui sempadan atau batasan yang telah ditentukan oleh Tuhan. 

"Umpamanya, seorang manusia perlu makan, bekerja dan tidur atau rehat, tetapi jika ia berbuat perkara-perkara ini secara berlebihan, ia akan ditimpa mudarat. Tetapi jika ia tidak berbuat langsung perkara-perkara ini, ia juga akan ditimpa mudarat. Oleh yang demikian, ada batasan yang perlu dia hormati dalam tiap-tiap perkara yang dia lakukan.”

Kassim Ahmad, dalam bukunya, Kontroversi Hukum Hudud (2002)

Secara ringkasnya, hukum hudud hanyalah salah satu cabang undang-undang dalam sistem perundangan Islam yang mewajibkan pembalasan ke atas jenayah yang dilakukan. Hukuman hudud merupakan suatu pembalasan kepada jenayah hudud yang ditetapkan oleh syarak, yang tidak ada kadar minima dan maksimanya dan yang tidak boleh digugurkan sama sekali, sama ada oleh individu atau jama‟ah. Kitab al-Taj al-Iklil „ala Mukhtasar al-Khalil menyebut pelbagai jenayah yang diwajibkan pembalasan, iaitu dikenakan hukum hudud ke atasnya. Jenis-jenis jenayah itu termasuk murtad, zina, qazaf, mencuri, merompak dan minum arak.

Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuan-ilmuan Islam mengenai penetapan kesalahan yang melibatkan hukum hudud. Ada sesetengah ilmuan yang kategorikan kesalahan lain sebagai hukum hudud seperti kesalahan liwat (homoseks) dan menderhaka kepada pemerintah (Bughat). Namun demikian, hal ini tidak akan dibincangkan dalam kajian ini.

Pelaksanaan hukum hudud tidak seolah-olah menjurus kepada menjatuhkan hukuman, tetapi memberi penekanan terhadap dua perkara: pembalasan dan pengubahan diri. Profesor Mohammad Hashim Kamali, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam buku beliau Hukuman Dalam Undang-undang Islam (2002) telah menyatakan kepentingan hukum hudud dalam kehidupan masyarakat seperti berikut:

“Objektif utama sebarang dasar jenayah dalam Islam, termasuklah hukuman hudud, adalah untuk menghasilkan pencegahan hukuman hudud, adalah untuk menghasilkan pencegahan yang berkesan dalam menangani jenayah serta keganasaan yang menyerang nilai-nilai. Usaha mencegah dan menghukum ini perlu juga diimbangi dengan keprihatinan yang berupaya untuk memupuk perubahan diri serta keupayaan untuk seseorang itu pulang semula ke pangkuan masyarakat demi menjalani hidup yang normal.” 

Persoalannya, bukankah undang-undang barat yang sedia ada turut memainkan peranan dalam pencegahan jenayah? YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, Dato‟ Nik Aziz berpendapat bahawa tahap keberkesanan sistem perundanganyang sedia ada adalah rendah memandangkan kadar jenayah yang semakin meningkat saban hari:

“Sesuatu undang-undang tidak dipandang berguna jika kewujudannya tidak membantu mengurangkan jenayah dalam masyarakat. Wujudnya seperti tiada. Kadang-kadang undang-undang seolah-olah menjadi baja pula kepada penjenayah. Jenayah bertambah sama naik dengan bertambahnya undang-undang baru. Akhirnya, jenayah sama subur dengan acapkali pindaan undang-undang”

Menurut beliau, pelaksanaan hukum hudud tidak memberi kesan negatif kepada rakyat, terutamanya, golongan bukan Islam. Hal ini disebabkan hukuman hudud tidak diperkenankan secara mandatori terhadap gologan bukan Islam:

“Lebih-lebih lagi, pelaksaannya tidak akan menjejakan mana-mana golongan rakyat, termasuk masyarakat bukan Islam, seperti yang dibimbangkan sebelum ini… Bagi orang-orang bukan Islam pula, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum hudud) tidak terpakai secara mandatori ke atas mereka. Fasal 56 (2)4 rang undang-undang ini membolehkan seseorang bukan Islam membuat pilihan supaya Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 terpakai dan berkuatkuasa ke atasnya bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya dalam Negeri Kelantan.” 

Namun begitu, pelaksanaan hukum hudud terhadap kaum lain perlu diseiringi dengan pelan yang rapi. Hal ini termasuk mengambil kira faktor keagamaan, budaya dan perasaan kaum yang berlainan. Salah satu objektif kajian kami adalah untuk meninjau kesan-kesan pelaksanaan hukum hudud, sama ada dalam kalangan masyarakat Islam atau bukan Islam, terhadap keharmonian dan kerohanian hubungan antara kaum di negara kita.

Nota s : terima kasih kpd mereka yg tolong lengkapkan online questionnaire yg sy bg thru emel. Grup kami dpt present dgn baik, Alhamdulillah. terima kasih sekali lagi (^.^)

1 comment:

Unknown said...

kalau boleh disertai sekali dengan sumber rujukan