Pages

May 29, 2010

Hudud II

Pembahagian Jenayah Hudud dan Hukumannya

Terdapat pelbagai pendapat tentang jenis-jenis jenayah yang termasuk dalam kategori jenayah hudud kerana tidak ada kesepakatan pendapat di kalangan ulama’ tentang bilangan sebenar bagi jenayah ini. Maka, dalam kajian ini, kami akan memfokuskan kepada 6 jenis jenayah yang diterima oleh sebahagian besar ulama’ iaitu :


Zina

(a) Pengertian zina
Zina bermaksud persetubuhan haram tanpa adanya akad yang sah antara lelaki dan perempuan. Islam menganggap perbuatan zina sebagai suatu jenayah yang buruk dan berat hingga dikategorikan sebagai dosa-dosa besar. Bukan Islam sahaja, malah agam-agama lain juga turut mengharamkannya. Di dalam al-Quran,Allah telah melarang umat manusia dari mendekati perbuatan zina, firman-Nya:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). -al-Isra’, 17:32 
(b) Cara menyabitkan Jenayah Zina 
Mereka yang melakukan zina mestilah terlebih dahulu disabitkan kesalahannya. Perbuatan zina ini hanya dapat disabitkan menerusi salah satu di antara berikut iaitu kenyataan saksi, pengakuan jenayah dan qara’in (bukti tidak langsung seperti hamil).

(c) Hukuman ke atas penzina
Bagi penzina yang belum berkahwin (ghairu muhsan) hukumannya ialah sebat 100 kali dan disaksikan oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman. Bagi penzina yang telah berkahwin (muhsan) hendaklah direjam sehingga mati.

Qazaf

(a) Pengertian qazaf
Qazaf bermakna melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang baik. Tujuan Islam mengadakan aturan tersebut ialah untuk menghapuskan amalan tuduh-menuduh dan buruk sangka yang tidak berasas yang boleh mengancam kerukunan sesebuah rumah tangga dan menjejaskan perpaduan anggota masyarakat dan Negara. Larangan melakukan qazaf ada disebut di dalam surah Al-Nur ayat 23 :
“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatan mereka, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab yang besar.”
(b) Cara menyabitkan Jenayah Qazaf 
Apabila mangsa membuat aduan terhadap dirinya yang dituduh melakukan sesuatu yang dia tidak melakukannya, barulah orang yang menuduh dapat didakwa dan disabitkan sebagai kes jenayah. Merujuk kepada penulisan ulama’, kami dapati ada sekurang-kurangnya tiga cara untuk menyabitkan kesalahan qazaf iaitu kesaksian para saksi, pengakuan penuduh dan sumpahan (apabila tidak ada bukti lain).

(c) Hukuman bagi qazaf
Akibat perbuatan menuduh yang menjatuhkan maruah si tertuduh dan keluarganya, maka penuduh akan dikenakan hukuman sebat 80 kali dan mereka akan hilang kelayakan menjadi saksi untuk selama-lamanya (surah Al-Nur, 24:4).

Minum arak

(a) Pengertian Jenayah Minum Arak
Arak mempunyai banyak kesan negatif terhadap diri manusia, selain dari menjejaskan akal fikran dan kesihatan, arak juga merupakan punca kepada beberapa kerosakan harta benda dan juga kelahiran pelbagai jenayah lain di dalam kehidupan masyarakat. Umumnya, minum arak itu adalah satu tindakan meminum minuman  yang memabukkan oleh seorang muslim yang baligh dan berakal dengan pilihannya sendiri. Pengharaman meminum arak dinyatakan di dalam surah al-Maidah, ayat 90 :
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya.”
(b) Cara menyabitkan Jenayah Minum Arak
Apabila berlaku jenayah minum arak, maka kesalahan itu perlu disabitkan ke atas pesalah di hadapan kadi dan kemudian barulah kadi boleh menjatuhkan hukuman ke atas yang bersalah. Terdapat dua cara untuk menyabitkan jenayah ini yang diterima oleh kesemua ‘ulama iaitu kesaksian saksi dan pengakuan pesalah sendiri.

(c) Hukuman bagi Peminum Arak
Pembalasan terhadap si peminum arak adalah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah S.A.W dan amalan para sahabat baginda semasa dalam pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin kerana tidak ada nas al-quran yang menjelaskan hukumannya. Rasulullah tidak menetapkan kadar sebenar pembalasannya tetapi menurut baginda, mereka yang meminum arak boleh dikenakan hukuman sebat tidak melebihi 40 kali.

Mencuri

(a) Pengertian mencuri
Merujuk kepada pengertian yang diberikan oleh ‘ulama mazhab-mazhab Islam, kami merumuskan bahawa mencuri boleh diertikan sebagai pengambilan harta benda secara diam-diam dan sembunyi daripada tempat simpanannya. Maksud diam-diam ialah perbuatan mengambil sesuatu tanpa diketahui tuannya dan tanpa relanya.’Ulama telah merumuskan beberapa unsur penting di dalam jenayah ini yang terdiri daripada empat perkara iaitu pengambilan secara diam-diam, yang diambil itu adalah harta benda, harta benda yang menjadi milik orang lain dan niat melakukan jenayah.

(b) Cara menyabitkan Jenayah Curi
Jenayah ini dapat disabitkan menerusi kesaksian saksi, pengakuan pencuri dan sumpahan. Saksi mestilah terdiri dari dua orang saksi lelaki yang menyaksikan sendiri jenayah itu berlaku.

(c) Hukuman bagi Pencuri
Sumber asal pembalasan bagi mereka yang mencuri adalah dari Al-Quran dan sunnah. Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 38:
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri, maka potonglah tangan mereka berdua.”
 Dan juga sabda Rasulullah yang diambil dari Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:
“Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu kerana apabila seseorang yang mulia di kalangan mereka mencuri maka mereka membiarkannya, tetapi apabila seorang yang lemah di kalangan mereka mencuri maka mereka memotongnya.”
Merompak

(a) Pengertian Rompak
Pelbagai pengertian merompak yang telah diberikan oleh para ‘ulama dan definisi terbaik yang dapat dirumuskan ialah tindakan yang diambil oleh individu, sama ada muslim atau dhimmi, dengan mengancam keselamatan jalan raya dan kawasan yang berjauhan atau keluar kerana tujuan merampas harta benda dengan menggunakan kekerasan sama ada perbuatan secara langsung atau secara tidak langsung (memberi galakan untuk merompak).

(b) Cara menyabitkan Jenayah Minum Arak
Seperti juga jenayah mencuri, kesalahan merompak dapat disabitkan  menerusi kesaksian para saksi dan juga pengakuan penjenayah itu sendiri. Kesaksian yang dimaksudkan itu ialah kesaksian dua saksi lelaki. Aduan daripada mangsa yang dirompak juga penting untuk dijadikan bukti untuk mewajibkan pembalasan ke atas pesalah yang berkaitan.

(c) Hukuman bagi Perompak
Pembalasannya dinyatakan di dalam surah al-Maidah, ayat 33 :
“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di bumi, ialah dengan dibunuh balas (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum).”
Riddah

Riddah ataupun murtad memebawa maksud bahawa seseorang muslim yang telah menukar atau keluar dari agamanya sama ada melalui perbuatan atau perkataan.Pengharaman murtad telah dinyatakan di dalam al-Quran sendiri di dalam surah Ali-Imran ayat 35 yang bermaksud :
Barangsiapa mencari agama selain dari agama Islam, maka tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk di antara orang-orang yang rugi .
Tindakan yang dikenakan ke atas muslim yang murtad adalah berpandukan daripada sabda Rasulullah yang bermaksud :
“Sesiapa yang menukarkan agamnya maka hendaklah kamu membununhnya.” (Riwayat Bukhari)
Namun, jika dilihat pada keadaan yang berlaku di Malaysia kini meskipun pada dasarnya umat Islam mesti berpegang teguh pada ajaran al-Quran dan Sunnah, berlakunya perubahan hukum akibat pemahaman yang berbeza terhadap nas-nas dan sunnah itu sendiri. Maka, jenis murtad itu dibahagikan kepada dua iaitu
(i)                 murtad yang memerangi Islam dan;
(ii)                murtad yang tidak memerangi Islam. 

Jenis yang pertama itu diwajibkan hukuman bunuh ke atasnya kerana berbahaya dan boleh merosakkan perpaduan apabila niatnya adalah untuk memburuk-burukkan Islam. Jenis yang kedua pula, orang itu mestilah bertaubat dengan taubat nasuha iaitu insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

No comments: